{fAmZ();}

Dunia satu persinggahan…

Posts Tagged ‘phD’

Definisi Kejayaan

Posted by Rull on 12/07/2009

Kejayaan mempunyai maksud yang berbeza bagi setiap orang. Yang paling popular tentang kejayaan ialah apabila seseorang berjaya untuk bergelar sebagai orang kaya atau jutawan. Jika ini menjadi tanda aras bagi kejayaan, nampaknya di dalam masyarakat kita, pasti ramai orang gagal daripada yang berjaya. Tambahan pula bagi golongan sederhana daripada segi harta, adalah tidak munasabah untuk meletakkan mereka sebagai orang yang tidak mencapai apa-apa lantaran mereka tidak berada di dalam kelompok kaya atau miskin.

Baru-baru ini di dalam rancangan ‘Apa ke halnya’ di TV9 ada dibincangkan tentang definisi kejayaan. Rancangan ini dihoskan oleh Mr. Os & Shamsul Ghau Ghau. Pandangan tentang kejayaan yang diberikan oleh tetamu jemputan, Farah Adeeba (peguam & pengacara TV9) sangat bernas apabila beliau mendefinisikan kejayaan dalam skop yang luas. Beliau menyatakan kejayaan tidak sepatutnya diukur daripada segi harta atau sijil akademik semata-mata, tetapi kejayaan juga boleh diukur berdasarkan kepada kemampuan seseorang memperbaiki dan memajukan diri.

Suatu ketika dahulu, aku pernah berbual dengan seorang Professor yang pernah berada di UK dalam satu jangkasamasa yang agak lama. Beliau menyatakan sistem persekolahan di sana lebih mementingkan pencapaian peribadi pelajar berbanding pencapaian secara keseluruhannya. Misalnya, seseorang pelajar yang cemerlang bagi 5 subjek di dalam kelas, akan diberikan 5 sijil pencapaian cemerlang. Jika hanya cemerlang dalam 1 subjek, maka 1 sahajalah sijil yang mereka dapat. Pelajar tidak diletakkan mengikut ranking² tertentu sebagaimana yang diamalkan di Malaysia. Dengan demikian, para pelajar tidak akan berasa tertekan untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran. Mereka akan menjadikan diri mereka sendiri sebagai saingan sebenar dan bukannya orang lain. Inilah realiti kehidupan, kita bersaing dengan nafsu di dalam diri sendiri. Sekiranya kita berjaya menyaingi nafsu malas berusaha, sudah tentu kita pun akan berjaya sebagaimana orang lain. Menjadikan orang lain sebagai saingan, hanya menebalkan sifat hasad dengki di dalam diri. Nauzubillahiminzaalik…

Bagi seorang hamba Allah, definisi kejayaan sangatlah luas sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah Al-Mu’minun (Surah ke 23):

  1. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
  2. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
  3. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
  4. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
  5. Dan mereka yang menjaga kehormatannya, –
  6. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
  7. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
  8. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
  9. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi –
  10. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

Terjemahan dipetik daripada http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/

MasyaAllah, tidak ada satu pun ayat yang menyatakan, duit paling banyak atau sijil akademik paling tinggi yang melayakkan seseorang bergelar insan berjaya. Cukuplah dengan apa yang dinyatakan di dalam ayat² di atas. Bila direnungkan kembali, sememangnya aku belum layak digelar insan yang berjaya. Masih banyak yang perlu diperbaiki baik dari segi urusan duniawi mahupun ukrawi. Dan begitu juga pandangan aku sebelum ini yang melihat harta sebagai ukuran kejayaan ternyata tidak boleh diterimapakai sama sekali. Sasaran kononnya untuk meletakkan nama di dalam senarai terkaya Majalah Forbes ternyata tidak mempunyai apa² nilai dari sudut pandangan Allah s.w.t.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud orang Islam tidak perlu mengejar kekayaan tetapi biarlah ia berpada-pada dan bukan dengan niat nak menunjuk-nunjuk semata-mata. Tidak perlulah berlagak dengan kereta mewah, bila pandu, tingkap dibuka dan hembus asap rokok keluar. Terserlah keegoan di wajah yang sombong itu. Wallahua’lam…

Posted in Harian, Peribadi | Tagged: , , , , , , , , , , , | Leave a Comment »